Jabatan Wilayah Persekutuan sentiasa prihatin dengan keperluan perumahan di kalangan rakyat, lantas mengambil pendekatan
proaktif dengan penyediaan rumah mampu milik yang bersasar mengikut kategori pendapatan. Ini adalah selari dengan teras Kesejahteraan Sosial,
WKB dalam mencapai matlamat Kerajaan menyediakan perumahan yang mencukupi dan mampu dimiliki bagi kelompok rakyat yang memerlukan.
Residensi MADANI merupakan program Perumahan Mampu Milik dalam kategori kos sederhana rendah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,
Putrajaya dan Labuan. Ia diperkenalkan untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah di Wilayah Persekutuan. Pada masa ini,
pelaksanaan pembangunan Rumah Mampu Milik di Wilayah Persekutuan memberikan fokus bagi kategori kos sederhana melalui Residensi Wilayah (RW)
untuk golongan berpendapatan sederhana. Program baharu Residensi MADANI ini, merupakan pelengkap kepada program sedia ada dalam usaha
Kerajaan untuk membantu golongan yang kurang kemampuan untuk memiliki tempat tinggal yang selesa.
Residensi MADANI adalah merujuk kepada Rumah Mampu Milik di Wilayah Persekutuan dengan harga jualan sehingga RM200,000 seunit dengan
saiz rumah minima 750 kaki persegi. Penetapan sasaran Residensi MADANI bagi tempoh tiga (3) tahun mulai 2021 - 2024 adalah sebanyak 10,000
unit di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Muat Turun Dasar RESIDENSI MADANI PDF