Soalan Lazim


Apakah itu RESIDENSI PRIHATIN?
Ia merupakan rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah (B40) di Wilayah Persekutuan.

Apakah ciri-ciri utama Residensi Prihatin?
Residensi Prihatin merupakan program rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan dengan harga jualan sehingga RM200,000 seunit dengan saiz minimum 750 kaki persegi.

Berapakah bilangan Residensi Prihatin yang akan dibina?
Dijangka sebanyak 6,000 unit Residensi Prihatin dirancang untuk pembinaan yang akan datang di Wilayah Persekutuan dalam tempoh masa tiga (3) tahun (2023 –2026).

Apakah jenis rumah dan ditawarkan di bawah Residensi Prihatin?
Residensi Prihatin menawarkan rumah yang mempunyai tiga (3) bilik tidur, dua (2) bilik air, dapur, ruang tamu, ruang makan dan yard serta dalam bentuk rumah berstrata.

Siapa yang layak memohon Residensi Prihatin?
Warganegara Malaysia berumur 18 tahun ketika permohonan dibuat dan dilahirkan, menetap atau bekerja di Wilayah Persekutuan. Pendapatan kasar pemohon tidak melebihi RM5,000 sebulan.

Adakah pemohon yang bujang layak untuk memohon Residensi Prihatin?
Ya, layak, asalkan pendapatan isi rumah pemohon RM5,000 sebulan dan ke bawah.

Adakah pesara layak memohon untuk membeli unit Residensi Prihatin?
Boleh. Tertakluk kepada syarat dan peraturan yang sedang berkuatkuasa dari semasa ke semasa.

Berapakah bilangan projek yang boleh dipohon oleh pemohon?
Satu permohonan sahaja dibenarkan untuk satu keluarga isi rumah (suami dan isteri) dan permohonan Residensi Prihatin adalah untuk rumah pertama sahaja.

Bagaimanakah untuk memohon Residensi Prihatin?
Permohonan boleh dibuat secara atas talian (online) di https://residensiprihatin.jwp.gov.my. Walau bagaimanapun, buat masa ini, permohonan masih belum dibuka untuk orang awam. Maklumat dokumen sokongan permohon hanya dikemukakan setelah projek sedia untuk dijual dan akan dimaklumkan melalui emel kepada pemohon.

Sekiranya pemohon telah memiliki rumah di Wilayah Persekutuan atau di negeri lain, adalah pemohon masih layak untuk memiliki unit Residensi Prihatin?
Tidak layak, kerana Residensi Prihatin hanya untuk pemohon yang masih tidak memiliki rumah.

Adakah sebarang pembiayaan disediakan untuk pembelian unit Residensi Prihatin?
Pembiayaan adalah urusan pemohon sendiri.

Bolehkah unit Residensi Prihatin yang dibeli dan kemudiannya dijual?
Residensi Prihatin mensyaratkan sekatan penjualan selama 10 tahun dari tarikh pertama Perjanjian Jual Beli ditandatangani.

Bolehkah dokumen sokongan dihantar melalui alamat emel Residensi Prihatin?
Tidak boleh. Pemohon perlu memuat naik dokumen sokongan seperti yang disyaratkan ke dalam Portal Residensi Prihatin.

Penyata gaji pemohon yang terkini sebulan sahaja atau 3 bulan untuk dikemukakan kepada pihak Urusetia?
Pemohon perlu mengemukakan penyata gaji bagi 3 bulan terkini.

Jika saya menyewa sekarang, adakah saya perlu melampirkan salinan bil elektrik dan salinan bil air?
Ya, pemohon perlu melampirkan bil elektrik dan bil air atau dokumen lain sebagai bukti kediaman tersebut.

Bagaimanakah cara untuk melengkapkan Surat Akuan Sumpah?
Pemohon perlu memuat turun surat akaun sumpah dari Portal Residensi Prihatin dan perlu ditandatangani di hadapan Hakim/Majistret atau Pesuruhjaya Sumpah.

Bolehkah saya memohon Ketua Kampung atau wakil rakyat membuat pengesahan Surat Akaun Sumpah tersebut?
Pihak Urus Setia Residensi Prihatin hanya menerima pengesahan oleh Hakim Mahkamah Sesyen/Majistret dan Pesuruhjaya Sumpah berdasarkan Akta Akuan Berkanun 1960 sahaja. Mana-mana pengesahan oleh badan atau individu yang tidak dinyatakan adalah tidak diterima.

Bagaimanakah untuk mengetahui status permohonan?
Pemohon boleh menyemak status permohonan melalui akaun pemohon di portal Residensi Prihatin. Walau bagaimanapun, buat masa ini, portal masih belum dibuka untuk permohonan projek.

Bolehkah pemaju membuat sebarang kutipan bagi proses permohonan Residensi Prihatin sebelum menandatangani Perjanjian Jual Beli?
Tidak boleh. Tiada sebarang bentuk kutipan wang boleh dilakukan oleh pemaju daripada pemohon termasuklah kutipan yuran komitmen sebelum menandatangani perjanjian jual beli kerana ia bercanggah dengan Peraturan-Peraturan Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Pelesenan) 1989 bagi melindungi kepentingan pembeli dan pematuhan peraturan di bawah Akta 118. Sebarang aduan berkaitan kutipan bayaran hendaklah dikemukakan terus kepada Sistem Aduan Bersepadu Jabatan Perumahan Negara di laman url: https://aduan.kpkt.gov.my/aduan-online/entry/aduanperumahan.cfm

Berapakah bayaran pertama yang perlu dikemukakan oleh pemohon?
Pemohon yang telah berjaya ditawarkan unit Residensi Prihatin perlu mengemukakan bayaran sebanyak 10% daripada harga unit yang ditawarkan kepada pemaju selaras dengan Perjanjian Jual Beli yang ditandatangani antara pembeli dan pemaju untuk urusan jual beli selanjutnya.

Bolehkah saya membatalkan mana-mana permohonan projek Residensi Prihatin bagi membolehkan saya memilih projek lain?
Pemohon boleh membatalkan sendiri permohonan untuk memilih projek lain dengan syarat status permohonan adalah Tidak Lengkap/Lengkap. (Sila klik maklumat terperinci di permohonan projek di dashboard kemudian pilih batalkan permohonan). Jika status permohonan adalah Semakan Urus setia, pemohon perlu mengemukakan emel beserta alasan untuk pembatalan projek ke alamat emel urusetiaresidensiprihatin@jwp.gov.my. Maklumat yang perlu dikemukakan adalah seperti berikut : i) Nama penuh; ii) Nombor Kad Pengenalan; iii) Projek yang ingin digugurkan; dan iv) Alasan Jika pemohon telah memilih berminat dan mendapat surat tawaran, pemohon perlu berurusan dengan pemaju projek yang telah ditawarkan untuk membatalkan projek yang telah ditawarkan. Pemohon tidak akan dipertimbangkan untuk memohon semua program rumah mampu milik di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan selama 12 bulan sekiranya pembatalan dibuat melalui Urus Setia Residensi Prihatin.

Berapa lamakah tempoh sah laku permohonan?
Tempoh sah laku permohonan adalah 12 bulan dari tarikh dokumen sokongan lengkap dimuat naik.

Siapakah yang boleh dijadikan sebagai Penama Kedua?
Pemohon dibenarkan untuk meletakkan penama kedua dalam Perjanjian Jual Beli dan Perjanjian Pinjaman Perumahan. Penama kedua terhad kepada pasangan (suami/isteri) atau ahli keluarga yang mempunyai pertalian darah (kandung) sahaja yang merujuk kepada ibu/bapa/adik-beradik/anak dan berstatus warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Kombinasi pendapatan pemohon dan penama kedua hendaklah tidak melebihi RM5,000 sebulan. Penama kedua juga mestilah belum memiliki Rumah Mampu Milik.